09 May 2010

Selamat Hari Ibu.....

Hari ini, seperti biasa aku pergi ke sekolah, persada untuk kucurahkan sedikit ilmu yang kumiliki....Sebenarnya sekolah adalah tempat ku 'belajar' bukannya 'mengajar'. Banyak perkara yang telah kupelajari di sekolah...banyak sangat...bermula dari belajar mengenal a, b, c, aku juga banyak belajar mengenal erti persahabatan, mengenal ragam ramai insan, tempat kubelajar mengenal diri sendiri, tempat ku belajar beramal dengan ilmu yang kumiliki...tempat ku mengenali erti kehidupan ....

Pagi ini, aku dikejutkan dengan ucapan 'selamat hari ibu' oleh Tn Pengetua dalam ucapannya di perhimpunan rasmi....ditujukan kepada semua kaum ibu.... Apakah tidak menjadi suatu dosa, membudayakan perayaan hari ibu seperti hari ini....? 

Namun, terkadangnya memang aku amat merasa terharu bila sesekali mendapat ucapan dan penghargaan seperti ini....Patutlah anak-anakku dirumah sibuk berbincang pasal hadiah hari ibu untukku....dan ujarku pada mereka, "umi tidak perlukan hadiah-hadiah seperti itu, umi bimbang ia cuma membazirkan wang semata-mata, bagi umi hadiah yang paling bernilai ialah kejayaan mereka dalam pelajaran, menjadi anak yang mendengar kata dan sebagainya....

Pernah juga kucuba selidiki sejarah perayaan hari ibu ini untuk memahaminya..
Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama.

Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan.

Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.



Oleh yang demikianlah, membuatkan aku 'risau' terhadap amalan ini....sebagaimana pesanan  Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sabdanya : “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”
[Hadits Sahih - diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya Dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir, disahihkan oleh Al-Albani]

Sebab itulah aku tidak begitu menggalakkan anak-anakku beriya-iya menyambut kononnya 'hari ibu'. kataku...hari ibu bagi mereka ialah hari mereka dilahirkan, jadi hari ulangtahun kelahiran mereka sepatutnya diingatkan juga sebagai hari ibu bagi ibu mereka....maka kalau nak bagi hadiah pada ibu, bukannya pada hari ini....tapi hari ulangtahun kelahiran mereka....Ini bermakna, pada hari ulangtahun mereka tak boleh lah lagi minta hadiah tapi sebaliknya bagi hadiah pada ibu.....

Dan sebenarnya tidak patut rasanya meraikan hari ibu cuma sehari saja...sedangkan jasa ibu sepanjang zaman... Islam menganjurkan menghormati dan meraikan ibu sepanjang masa, setiap saat dan ketika...bukannya bermusim seperti itu.... Jadikanlah hari-hari hari ibu....sebagai tanda anda menyayangi ibu anda.....hadiahkan untuk mereka ketaatan, perhatian, rasa kasih dan sayang....agar mereka 'merasai' semua itu....Sayangi dan doakan mereka saban masa....itulah tanda kasih seorang anak yang soleh....

Kepada anak-anak umi, fahamilah makna hari ibu yang sebenar. Hari ibu bukan hanya sekadar untuk mengucapkan "Selamat Hari Ibu" dan bagi sesuatu hadiah, tapi sebenarnya hari untuk mengingati jasa, membalas jasa, menunjukkan rasa kasih dan cinta pada ibu....kerana tanpa ibu siapalah kita???

Kepada ibuku yang telah pergi untuk selama-lamanya, kutitipkan segugus doa dan sejambak al-Fatihah buatmu di alam sana, semoga roh Ibu ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.....




mencari cinta dan redha Rabbul Izzati.....

No comments:

Post a Comment