Showing posts with label Kasih Ayah Bonda. Show all posts
Showing posts with label Kasih Ayah Bonda. Show all posts

09 May 2010

Asal-usul Hari Ibu


Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama.

Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan.

Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Justeru, apakah justifikasi orang-orang Islam merayakan hari tersebut ?

Terjemahan oleh webmaster dari History of Mothers Day


Sumber ; Laman Web Rasmi, Ma'ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini


Sebenarnya tak perlu tunggu ahad kedua bulan May untuk sambut hari ibu, setiap hari ialah hari ibu, kerana  tak ada sebab kita hanya patut meraikan hari ibu cuma sehari dalam setahun untuk kasih sayang dan pengorbanan mereka yang tiada bandingannya. Oleh yang demikian, ucapkan sayang ibu pada setiap hari, sementara kita masih diberi kesempatan untuk bersama-samanya. Berilah sepenuh kasih sayang pada mereka, berilah mereka kesenangan dan kebahagiaan...dan jangan sesekali biarkan mereka menjerut rasa, menderita dek perbuatan dan tingkah laku kita....

Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda : “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”
[Hadits Sahih - diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya Dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir, disahihkan oleh Al-Albani]




mencari cinta dan redha Rabbul Izzati.....

Selamat Hari Ibu.....

Hari ini, seperti biasa aku pergi ke sekolah, persada untuk kucurahkan sedikit ilmu yang kumiliki....Sebenarnya sekolah adalah tempat ku 'belajar' bukannya 'mengajar'. Banyak perkara yang telah kupelajari di sekolah...banyak sangat...bermula dari belajar mengenal a, b, c, aku juga banyak belajar mengenal erti persahabatan, mengenal ragam ramai insan, tempat kubelajar mengenal diri sendiri, tempat ku belajar beramal dengan ilmu yang kumiliki...tempat ku mengenali erti kehidupan ....

Pagi ini, aku dikejutkan dengan ucapan 'selamat hari ibu' oleh Tn Pengetua dalam ucapannya di perhimpunan rasmi....ditujukan kepada semua kaum ibu.... Apakah tidak menjadi suatu dosa, membudayakan perayaan hari ibu seperti hari ini....? 

Namun, terkadangnya memang aku amat merasa terharu bila sesekali mendapat ucapan dan penghargaan seperti ini....Patutlah anak-anakku dirumah sibuk berbincang pasal hadiah hari ibu untukku....dan ujarku pada mereka, "umi tidak perlukan hadiah-hadiah seperti itu, umi bimbang ia cuma membazirkan wang semata-mata, bagi umi hadiah yang paling bernilai ialah kejayaan mereka dalam pelajaran, menjadi anak yang mendengar kata dan sebagainya....

Pernah juga kucuba selidiki sejarah perayaan hari ibu ini untuk memahaminya..
Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama.

Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan.

Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.



Oleh yang demikianlah, membuatkan aku 'risau' terhadap amalan ini....sebagaimana pesanan  Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sabdanya : “Sesiapa sahaja yang menyerupai sesuatu kaum itu , maka dia itu termasuk di dalam golongan mereka”
[Hadits Sahih - diriwayatkan oleh Imam Abu Daud R.H dalam sunannya, Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam musnadnya Dan Imam as-Suyuti di dalam al-Jamie’ as-Shaghir, disahihkan oleh Al-Albani]

Sebab itulah aku tidak begitu menggalakkan anak-anakku beriya-iya menyambut kononnya 'hari ibu'. kataku...hari ibu bagi mereka ialah hari mereka dilahirkan, jadi hari ulangtahun kelahiran mereka sepatutnya diingatkan juga sebagai hari ibu bagi ibu mereka....maka kalau nak bagi hadiah pada ibu, bukannya pada hari ini....tapi hari ulangtahun kelahiran mereka....Ini bermakna, pada hari ulangtahun mereka tak boleh lah lagi minta hadiah tapi sebaliknya bagi hadiah pada ibu.....

Dan sebenarnya tidak patut rasanya meraikan hari ibu cuma sehari saja...sedangkan jasa ibu sepanjang zaman... Islam menganjurkan menghormati dan meraikan ibu sepanjang masa, setiap saat dan ketika...bukannya bermusim seperti itu.... Jadikanlah hari-hari hari ibu....sebagai tanda anda menyayangi ibu anda.....hadiahkan untuk mereka ketaatan, perhatian, rasa kasih dan sayang....agar mereka 'merasai' semua itu....Sayangi dan doakan mereka saban masa....itulah tanda kasih seorang anak yang soleh....

Kepada anak-anak umi, fahamilah makna hari ibu yang sebenar. Hari ibu bukan hanya sekadar untuk mengucapkan "Selamat Hari Ibu" dan bagi sesuatu hadiah, tapi sebenarnya hari untuk mengingati jasa, membalas jasa, menunjukkan rasa kasih dan cinta pada ibu....kerana tanpa ibu siapalah kita???

Kepada ibuku yang telah pergi untuk selama-lamanya, kutitipkan segugus doa dan sejambak al-Fatihah buatmu di alam sana, semoga roh Ibu ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.....




mencari cinta dan redha Rabbul Izzati.....

30 April 2010

2 April 2010 : Mek masuk HUSM

Segala-galanya adalah kehendak Ilahi....pada saat segalanya membutuhkan kekuatan dan kesabaran, ujian semakin banyak yang tiba....Mek, sudah beberapa hari mengadu kurang sihat. Suamiku telahpun membawanya ke klinik. Namun, dek kesibukanku berulang-alik ke HUSM kerana menjaga Bonda di 2 Delima...aku agak alpa tentang penyakit Mek...

Pagi 2 April 2010, aku memutuskan untuk tidak menziarahi Bonda untuk waktu lawatan jam 6:30 -7:00 pagi ini, kerana fikirku, hari ini aku ingin bereskan urusan rumahtangga yang agak lama terbengkalai sejak Bonda dimasukkan ke HUSM pada 28 Mac 2010 yang lalu...Pagi itu, selesai solat Subuh, aku mencapai naskah al-Quran...kubaca ayat demi ayat....hampir jam 7:00 pagi itu,bapa mertuaku datang dalam keadaan yang agak cemas...meminta suamiku ke rumahnya...katanya perangai Mek agak 'pelik'. Aku memberitahu suamiku perihal itu...Tanpa berlengah suamiku terus ke rumah ibunya yang tidak berapa jauh dari rumah kami...

Aku meneruskan bacaan al-Quran, sehinggalah suamiku balik semula ke rumah dan membuat panggilan telefon kepada seseorang...Aku terus bertanyakan khabar Mek..lalu dengan ringkas suamiku mengatakan Mek akan dibawanya ke klinik. Aku terus mohon izin untuk melawat Mek.

Sejurus tiba di rumah Mek, kulihat perangai 'pelik' Mek...suaranya 'pelik', pandangan matanya 'pelik'...hatiku tiba-tiba berdebar, bimbang sesuatu yang 'buruk' akan berlaku pada Mek. Aku memutuskan bahawa Mek perlu dibawa ke hospital. Kucuba menghubungi suamiku yang sedang bersiap untuk membawa ibunya ke klinik. Aku memberitahu suamiku, bahawa Mek perlu dibawa ke hospital dengan ambulans memandangkan keadaannya yang semakin 'pelik' dan tidak boleh bangun lagi...":mana mungkin untuk kami bawanya menggunakan kereta," kataku.

Suamiku menghubungi ambulans dan beberapa minit kemudian ambulans tiba dan membawa Mek ke HUSM. Sebelum itu, Mek diberi rawatan kecemasan untuk mengenalpasti masalah penyakitnya...Menurut pembantu perubatan tersebut, Mek mengalami masalah kurang gula dalam darah yang menyebabkan otaknya gagal berfungsi dengan betul...sebab itulah dia jadi berperangai 'pelik'. Dan katanya lagi, nasib baik Mek tidak pengsan dan terkena strok.

Demikianlah juga setibanya Mek di ruang kecemasan, Mek diberi rawatan kecemasan dengan memasukkan dua tiub air glukos dalam badannya...dan syukur alhamdulillah. dalam masa yang singkat Mek kembali sedar seperti sediakala...Malangnya, Mek terpaksa juga dimasukkan ke hospital untuk rawatan gula dalam darahnya.


Gambar: Mek sewaktu dalam Wad 7 Utara, sedang menjamah makan malam...


 Gambar: Berselera nampaknya Mek.... dah semakin sihat lah tu.....



Gambar : Mek masih agak lemah...tapi tampak lebih sihat daripada sebelumnya...mudah-mudahan Mek cepat -cepat kembali sihat.


Dan pada 7 April 2010, Mek telah dibenarkan keluar daripada Wad. Sepatutnya Mek dapat keluar Wad pada 6 April 2010 lagi...tapi oleh kerana pada hari tersebut, kami semua sangat sibuk dengan urusan pengkebumian Bonda...maka urusan Mek terpaksa ditangguhkan...Maafkan kami Mek....Walau bagaimanapun sewaktu kami kesibukan hari itu...Mek dibawah seliaan ayah kami.....

Apapun, segunung kesyukuran kepadaMu ya Rabb untuk segala-galanya....Semuanya kami terima dengan penuh redha.....

mencari cinta dan redha Rabbul Izzati.....

22 April 2010

Kenduri Arwah.....

Apakah kenduri arwah atau dipanggil juga kenduri tahlil satu perkara yang dianggap ibadat atau adat? Sebagai seorang Islam, kita disuruh dan digalakkan melakukan sesuatu perkara yang memperolehi ganjaran pahala kebajikan dan mengelakkan daripada melakukan sesuatu perkara yang hanya menjadi kebiasaan atau adat saja...kerana dikhuatiri ia akan menjadi sia-sia di sisi Allah.

Persoalan tentang kenduri arwah atau tahlil ini sama ada sebagai ibadat atau adat, bagi pendapatku, ia bergantung pada niat pelaksananya. Kenduri sempena kematian seseorang sebenarnya bukanlah sesuatu yang wajib. Tetapi jika ia ingin dilakukan maka ia bukanlah pula satu larangan.

Biasanya, kenduri arwah atau kenduri tahlil ini dilakukan sebagai tanda mengingati dan tanda kasih sayang si anak atau si isteri atau suami terhadap ibubapa atau terhadap suami atau isteri yang telah meninggal dunia. Selain daripada tanda ingatan ia juga bertujuan untuk memohon doa agar dilimpahkan kesejahteraan terhadap arwah kepada Allah swt.

Kenduri arwah atau kenduri tahlil ini biasanya dimulakan dengan sedikit bacaan tahlil secara beramai-ramai, diikuti dengan bacaan doa dan kemudiannya para hadirin dihidangkan dengan sedikit juadah.Oleh yang demikian,jika ia mampu dilakukan, biarlah ia dilakukan dengan ikhlas hati sama ada bagi pihak penganjur mahupun para hadirin. Keikhlasan menyediakan juadah kepada hadirin sebenarnya memberikan ganjaran kebajikan kepada pelaksananya, manakala doa yang dipanjatkan, mudah-mudahan dapat membantu roh si mati.

Apapun, terdapat beberapa senario yang positifnya boleh didapati daripada majlis seperti ini antaranya;
1. 'ajakan yang makruf' atau amar makruf untuk sama-sama berzikir dan berdoa dalam majlis tersebut.

Namun, apa yang positif ini biarlah bukan hanya seketika itu cuma, tetapi hendaknya biarlah ia memberi suntikan keinsafan dalam setiap sanubari bahawa siapapun kita di dunia ini, pasti akan mati....dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak amalan kebaikannya semasa di dunia...bukannya mengharapkan doa dan 'tahlil' daripada orang lain selepas matinya, kerana semua itu belum tentu dapat membantu kita sebagaimana hadis nabi yang menyatakan bahawa; sebaik sahaja mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah segalanya kecuali tiga perkara iaitu amalannya, sedekah jariahnya dan doa daripada anaknya yang soleh....

2. memberi makan kepada orang lain juga merupakan sesuatu yang sangat mulia.

Apapun, amalan ini janganlah pula hanya dilakukan sempena kenduri arwah sahaja, bahkan biarlah ia menjadi kelaziman dalam kehidupan bermasyarakat.

Walau apapun, setiap yang baik itu, jika tidak dilakukan tepat dengan caranya,bimbang pula seandainya berlaku perkara yang mungkin tidak sepatutnya berlaku tentang keputusan mengadakan kenduri tahlil ini, iaitu 1. kemungkinan timbul'rasa terbeban' dengan kepenatan menguruskan kenduri yang telah menjadi 'adat' ini lalu telah menimbulkan pelbagai rungutan demi rungutan...Dan mungkin juga membawa kepada ketidaksefahaman berlaku antara anak-anak si mati...Siapa tahu pergaduhan juga boleh tercetus....Jika ini berlaku, ia adalah suatu perkara yang amat dikesali...kerana niat yang baik tadi (ibadat) telah bertukar menjadi hanya suatu adat sahaja.

Hal ini adalah perkara yang paling menyedihkan, lalu jadilah majlis tersebut tidak ubah seperti satu upacara ritual atau adat sahaja, dan mungkin di sisi Allah ia cuma satu perkara yang sia-sia....Alangkah ruginya jika ia berlaku....dan adalah lebih baik tidak perlu diadakan kenduri tersebut, tetapi digantikan dengan amalan berdoa oleh anak-anak secara tertutup atau 'sendiri-sendiri' untuk kesejahteraan ibubapa kita yang telah meninggal dunia. Itu adalah perkara yang lebih mulia lagi, kerana ia dapat memastikan bahawa keikhlasan yang sebenarnya terletak pada hati masing-masing, bukannya terletak pada pengurusan kenduri....

Renung-renungkanlah...renungkanlah dengan mata hati yang penuh keimanan....agar setiap apa yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah swt.

Buat kedua ayahbondaku yang telah pergi menemui Ilahi...sekalung Al-Fatihah kupersembahkan buatmu...moga-moga Allah menempatkan kalian ditempat orang-orang yang soleh...Amin.Ya Rabbal Alamin.


mencari cinta dan redha Rabbul Izzati.....

16 April 2010

Bonda....aku merinduimu....






Bonda,
Entah kenapa hari ni, aku benar-benar merinduimu...seharian ini aku asyik terkenangkanmu...Sebenarnya sedari malam tadi ingatanku padamu sentiasa berlegar-legar diruang minda ini...Malam tadi, kami bersepakat untuk mengadakan kenduri tahlil buatmu...sama-sama mendoakan kesejahteraanmu di alam sana...Seboleh kami ingin lakukan semuanya yang terbaik buatmu Bonda...

Bonda,
Hari ini, seawal subuh hening, kubangkit dari lena...yang terbayang hanyalah wajah Bonda...tiba-tiba ku cuba merancang untuk menziarahi pusaramu....tapi perasaanku bertelagah...seolah-olah aku masih 'tidak percaya' bahawa aku telah benar-benar kehilanganmu....Aku termenung sendiri, cuba mengimbau kembali saat-saat Bonda bersamaku di sini, kemudian suatu ketika Bonda akan 'terbang' ke Kuala Lumpur...menziarahi putera Bonda yang tinggal di sana. Dan 'kepergian' Bonda  ke Kuala Lumpur membuatkan rindu terus menggamit di ruang hati.

Bonda,
Sebenarnya memang dari dulu lagi, rindu padamu sentiasa bermain di ruang hatiku...Aku sering bermimpi dan mengimpikan alangkah bahagianya kalau Bonda sentiasa berada bersamaku...Seringkali jua kerinduan padamu kuluahkan kepada suamiku sambil airmataku mengalir dipipi ini...Sesungguhnya Bonda, setiap kali bicara rindu bermain dibibir dan dimataku....sememangnya airmatalah yang sentiasa mengiringinya bersama untuk memuaskan hati, menghilangkan sebak didada....Pernah juga sesekali selepas bapa tiriku meninggal dunia, kusuarakan hasrat hati mengajak Bonda tinggal bersamaku...namun, Bonda lebih 'selesa' tinggal dengan adik lelakiku...mungkin disebabkan anak bongsunya barangkali...Aku cuba memahami perasaan Bonda...lalu hasrat hati dan impianku untuk bersama Bonda selalu kusimpankan saja jauh-jauh di dalam hati...Bukan berkecil hati....tapi cuba memahami Bonda....



Bonda,
Aku tidak pasti apakah tujuanku mencoretkan semuanya di sini...tapi yang pasti, hatiku merasa sedikit kelegaan kerana dapat meluahkan sesuatu...biarpun Bonda tidak mungkin dapat membacanya lagi....tapi kuyakin Bonda pasti 'tahu' hatiku....

Bonda,
Kerinduan ini membuat hatiku merasa keliru...Ketiadaanmu kini tidak dirasakan ketiadaan untuk selama-lamanya, tapi 'ketiadaan' yang selalu Bonda lakukan sewaktu Bonda ke Kuala Lumpur...meninggalkan kami di kampung untuk sebuah kepulangan. Tetapi...itu hanyalah khayalan dan mainan perasaanku cuma...aku harus menenrima hakikat bahawa 'ketiadaan' Bonda tidak lagi perlu dinantikan kepulangannya...'Ketiadaan' Bonda adalah ketiadaan untuk selama-lamanya...Mungkin kami akan ketemu Bonda nanti....????

Bonda,
Lewat jam 5:30 petang tadi, kami sekeluarga telah pergi menziarahi pusaramu...suasana di pusara Bonda begitu sepui sekali..."Benarkah jasad Bonda berada di sini?"...hatiku meragui lantaran kerinduan padamu yang terlalu....ya Allah, ampunilah Bonda...kasihanilah Bonda...tempatkanlah Bonda di kalangan orang-orang yang beriman. Berikanlah kerehatan dan kerahmatan buat Bonda di alam sana...

Bonda,
Sebagaimana janjiku padamu di saat Bonda terlantar koma di wad 2 Delima dua minggu yang lalu, aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Bonda, aku akan sentiasa hiburkan Bonda dengan bacaan Yasin, al-Mulk dan al-Waqiah yang Bonda suka...yang selalu juga kubacakan buat Bonda sewaktu kita masih bersama dulu...Damailah Bonda di sana...akan kukirimkan sentiasa bunga-bunga doa buat Bonda...Aku yakin, Allah sesungguhnya mahu mendengar doaku...Aku yakin, Allah Maha Pengampun, Pemberi Rahmat dan Menepati  Janjinya....

Bonda,
Hanya itulah yang mampu kulakukan buatmu kini...Semoga Bonda berbahagia di 'sana'....aku yakin, aku kenal Bonda.....




Mencari cinta dan redha Rabbul Izzati....

12 April 2010

Ayah Oh Ayah....

Siapalah kita...tanpa seorang ibu dan ayah..Alangkah bahagianya punya sebuah yang keluarga yang lengkap dan sempurna...pastinya kehidupan juga penuh dengan kasih dan sayang, ceria dan sempurna...Namun siapalah kita untuk segala kesempurnaan itu...kita adalah insan biasa...Sedangkan rasulullah saw sendiri, walaupun baginda adalah insan pilihan Allah, namun baginda masih tetap diuji dengan keadaan yatim-piatu sejak dari kecil lagi....

Syukurku kepadaMu yang Allah, kerana mengurniakan ku segalanya, meskipun tanpa kasih seorang ayah...namun aku masih memiliki kasih insan-insan lain yang tetap melimpahkan kasih sayang mereka yang tiada kurangnya buat ku....terima kasih semua....

Sejak dari kecil lagi, aku dididik dan diasuh dengan penuh kasih sayang...oleh ibu, nenek, datuk dan saudara-saudaraku....sehingga aku lupa tentang erti kehilangan seorang ayah...cuma sesekali kujadi tertanya-tanya, bila seringkali aku dilabelkan sebagai seorang anak yatim sewaktu disekolah....waktu itu, aku masih belum mengerti...apa itu anak yatim...

Bila hari meningkat usia...aku semakin mengerti...terkadang aku merasa terlalu hiba apabila dibawa menziarahi pusara ayah...terkadang aku menjadi terlalu sebak apabila ditunjukkan gambar ayah....terkadang aku menjadi terlalu sedih apabila diceritakan kisah ayah....

Kata Bonda, ayahku meninggal dunia sewaktu usiaku lapan bulan...belum mengerti apa-apa...Bonda selalu membawaku menziarahi ayah sewaktu ayah sakit di rumah isteri pertama ayah...setiap hari Bonda berulang-alik untuk menjaga ayah...sehinggalah ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir....

Sebenarnya tidaklah terlalu banyak yang diceritakan Bonda tentang ayah...dan sebagai seorang anak, aku tidak pernah bertanya tentang kisah silam ayah... tetapi sejauh yang kutahu mengenai ayah...beliau adalah seorang yang sangat baik hati, pemurah, pernah menjadi seorang wakil rakyat suatu ketika dulu...Aku masih ingat, sewaktu aku berkunjung kerumah seorang teman sekolahku dulu....terkaget seketika aku dibuatnya, apabila diminta perkenalkan diri dan ditanya dimana asalku, serta anak siapa...rupa-rupanya mereka sangat-sangat mengenali ayahku...kata mereka, ayah banyak meninggalkan jasa untuk rakyat...Sejauhmana kebenarannya aku sendiri tidak pasti....Cuma jauh di sudut hati,aku hanya mampu mendoakan yang terbaik buat ayah...kudoakan kepada Allah agar menempatkan roh ayah di kalangan golongan orang-orang yang beriman dan solihin. AL-FATIHAH buat ayah.

08 April 2010

Catatan Kasih Buat Bonda Tersayang.....

  Cinta dan kasih Bonda akan ku kenang sampai akhir hayatku....


Potret wajah Bonda yang sempat kurakamkan sewaktu Bonda berada di anjung kami dua bulan (Febuari 2010) sebelum Bonda pergi buat selama-lamanya.....

Bonda...Itulah kalimah yang seringkali kulafazkan tika rindu melamar dikamar hati ini...Betapa anakmu amat menyayangimu...betapa anakmu amat mengharapkan belai kasihmu, mengharapkan tutur bicara syahdu menasihatiku dalam apa jua situasiku...hanya Tuhan sahaja yang mampu mendengar jeritan batin ini...namun Bondaku...semua itu tinggal kenangan..kini, perpisahan sementara yang sering terjadi antara kita...yang seringkali mendambakan pertemuan antara dua insan, kini tidak lagi menjanjikan pertemuan yang biasa itu, kerana perpisahan kali ini adalah perpisahan untuk selama-lamanya....Kini, aku benar-benar kehilanganmu, kini aku benar-benar terpisah darimu...

Pagi 28 Mac 2010, sewaktu ku bersedia untuk memulakan tugas ku di perhimpunan rasmi sekolah, tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu panggilan yang agak jarang ku terima. Aku diberitahu tentang kecemasan yang menimpa Bonda...Cik panggilan manja kami untuk Bonda, tak sedarkan diri dan sedang dalam perjalanan ke hospital katanya...Terkaget ku seketika, tetapi cuba untuk tidak panik....dan difikiranku hanya bayangan wajah Cik (Bonda) yang terlantar kaku bermain-main di mata. Aku bergegas meninggalkan majlis perhimpunan pagi dan terus ke bilik guru untuk meneguk sedikit ketenangan...Ku cuba menghubungi Kak Na untuk kepastian,...ah...rupanya dia sendiri belum menerima berita buruk itu...

Aku membuat keputusan untuk segera ke hospital. Sebelum itu, aku ke pejabat sekolah untuk memaklumkan keputusan ku untuk ke hospital. Semua Pentadbir sekolah berada dalam majlis perhimpunan rasmi yang kebetulan ada majlis perasmian Minggu Anti Dadah. Aku tinggalkan pesan pada rakan sejawat dan tanpa berlengah aku terus memejut untuk cepat tiba di hospital.

Bonda, pada saat itu hanya doa dan al-Fatihah yang kukirimkan buatmu, tak putus-putus ku berdoa agar Bonda tidak apa-apa...Sesekali ku cuba hubungi Kak Ani, kalau-kalau dia sudah sampai di hospital terlebih dahulu, tidak sabar-sabar rasanya ingin tahu keadaan Bonda...

Jam 9:00 pagi, barulah aku tiba di hospital (HKB). Hampir lapan ke sembilan kali ku cuba pusing-pusing untuk mendapatkan tempat letak kereta, namun semuanya penuh, lalu aku membuat keputusan untuk letak kerta di perkarangan stadium Sultan Muhammad ke-4...biarlah jauh sikitpun, asalkan aku dapat segera berjumpa Bonda...

Jam 9: 30 pagi, aku tiba di bilik kecemasan HKB dan mendapati semua kakak-kakakku yang lain sudah sampai dan akulah yang terakhir tiba di situ...aku ditunjukkan bilik Bonda ditempatkan dan diceritakan serba sedikit bagaimana permulaannya keadaan yang menimpa Bonda...Kudatang dekat, rapat pada Bonda yang terlantar di bilik kecemasan HKB, airmataku terus gugur laju, deras...tanpa dapat disekat...tidak sanggup melihat wajah Bonda yang putih pucat didepan mata...Kurapatkan bibirku ke telinga Bonda, memanggil-manggil namanya...dia menganggukkan kepala...dalam sebak yang tidak tertahan, dengan suara bergetar menahan kesedihan, kugagahi jua melafazkan "Lailaha illallah" , mengingatkan Bonda agar jangan lupa Allah...Allah, Allah.. kataku...Bonda masih mampu menganggukkan kepalanya walaupun amat perlahan...Aku bersyukur, Bonda masih mendengar suaraku...Kupegang erat jemari Bonda...cuba memberi semangat padanya...

Jam 10:00 pagi, Bonda dibawa ke bilik CT Scan untuk scan kepalanya...kami semua resah menunggu...dan tidak lama kemudian, Bonda dibawa semula ke ruang kecemasan tadi...Aku terus mendapatkan doktor untuk mendapatkan info mengenai Bonda...Doktor menyuruhku bersabar kerana laporannya masih belum di terima...Ya Allah, selamatkanlah Bondaku...doaku...

Jam 10:30 pagi, ku jenguk Bonda dikatilnya...masih tidak sedarkan diri...sekali lagi ku bisikkan ke telinganya kalimah "Allah".berulang-ulang..tiada respon....hatiku mulai gelisah...Doktor memanggilku...Doktor menerangkan kepadaku masalah penyakit bonda...menurut Dokotr ada pendarahan berlaku di otak Bonda, dan banyak darah beku di otaknya...katanya kes Bonda akan dirujuk ke HUSM. Ya Allah, bagaikan halilintar yang menyambar, aku terus membayangkan nasib Bonda....Aku berlari keluar memaklumkan keadaan Bonda pada kakak-kakaku...kami semua tidak mampu menahan kesedihan...

Sesekali terbayang difikiran, bahawa perpisahan dengan Bonda buat selama-lamanya semakin hampir....dan sesekali pula hatiku masih mendoakan agar Bonda masih mampu bertahan sebagaimana pengalaman-pengalaman 'ngeri'nya sebelum ini. Bonda seorang yang kuat semangat, tidak takut berjuang untuk hidup...dan pengalaman Bonda yang hebat sebelum ini ialah berjuang memerangi penyakit kanser usus yang juga memerlukan pembedahan...namun berkat doa semua insan yang amat menyayanginya, di samping izin Allah yang masih memberinya peluang bersama kami...Bonda terselamat dari penyakit merbahaya tersebut...hampir dua tahun pembedahan kanser usus Bonda berlalu..Alhamdulillah, Bonda masih diberi kesihatan yang sungguh luar biasa...Bonda memang kuat semangat, tiada sedikitpun kerisauan tentang penyakitnya tergambar di wajahnya mahupun terluah dek lewat kata-katanya....Meskipun dibibir Bonda seringkali membayangkan ingatannya terhadap kematian yang bakal menjemputnya....namun seringkali itulah Bonda lebih banyak zikir kepada Allah yang terkumat kamit dibibirnya....setiap saat, setiap detik...Bonda sentiasa berzikir...

Jam 12.:00 tengahari, Bonda dibawa ke HUSM untuk rawatan selanjutnya...lebih kurang jam 12:30 tengahari, aku tiba diperkarangan HUSM setelah menempuh perjalanan yang agak sesak. Tanpa mempedulikan siapa-siapa, aku terus mendapatkan Bonda...tidak inginku meninggalkannya keseorangan diruang kecemasan 'kritikal' itu....Di sisi Bonda, aku tidak pernah merasa jemu untuk mengingatkannya mengingati Allah...Bonda masih bisa mendengar suaraku...setiapkali Bonda menganggukkkan kepalanya menyahut panggilanku...setiapkali itulah airmataku berderai....pedih hatiku mengenangkan keadaan Bonda...luluh hatiku membayangkan seribu kemungkinan yang akan berlaku pada Bonda...Bibirku tidak lekang dari membacakan ayat-ayat suci al-Quran untuk Bonda...terutamanya surah al-Fatihah...aku benar-benar mengharapkan pertolongan Allah swt untuk membantu Bonda, meringankan sakitnya...mengampunkan dosanya....


Jam 1:30 tengahari, perut terasa perit, penyakit gastrikku mula datang agaknya, maklumlah...sejak dari pagi perutku belum berisi lagi...kuminta izin dari Bonda untuk keluar sekejap, ku minta Che Ngah (kakak) menggantikanku di sisi Bonda...

Jam 2:00 petang, kutiba kembali di sisi Bonda...kata kakakku...Bonda sudah tidak lagi memeri sebarang respon...aku cuba mendapat kepastian, perlahan-lahan kusebut nama Bonda....tiada tindakbalas...Ya Allah, selamatkanlah Bonda...jerit batinku...Kak Ani,Kak Na (Che Ngah) mohon untuk pulang sekejap manakala Kak Chik (kakak sulungku) mohon untuk solat Zuhur seketika...pula waktu itu aku masih uzur syarie lalu,tinggallah aku di sisi Bonda...Terasa benar penatnya hati itu...lalu kubuat keputusan untuk rehat seketika di ruang menunggu...

Jam 2:45 petang, sayup-sayup terdengar bacaan surah Yasin di hujung telingaku...aku bingkas, rupanya aku terlena tadi, dan kak Chik sedang membaca Surah Yasin...Aku terus mendapatkan Bonda...terkaget seketika, Bonda tiada ditempatnya....kata kak Chik, Bonda dibawa ke bilik CT Scan...

Jam 3: 10 petang, Bonda di bawa semula ke tempatnya...dan aku dan Kak Chik segera mendapatkannya ..ku lihat wajah Bonda semakin pucat...Doktor datang kepada kami dan meminta masa untuk sedikit perbincangan...aku dan Kak Chik mengekori Doktor tersebut. Dengan nada yang bersemangat, Doktor yang memperkenalkan dirinya sebagai Dr Gee itu memberi sedikit penerangan tentang penyakit Bonda...Katanya, otak Bonda mengalami pendarahan...dan masih boleh di'ikhtiar'kan dengan cara pembedahan, tetapi risikonya 50-50. Jika Bonda selamat dibedah, kemungkinan besar Bonda akan lumpuh...dan tidak mungkin Bonda akan pulih seperti sediakala, dan jika Bonda tidak dibedah...Bonda mungkin akan 'koma' dan tunggu masa untuk 'pergi'...Bagaikan 'tsunami' melanda jiwaku...Aku dan kak Chik saling berpandangan...kata kak Chik, Bonda perlu di bedah...sebagai ikhtiar...kataku, Bonda seorang yang redha untuk kematiannya...tidak perlu rasanya untuk dibedah kerana harapannya juga tipis...aku ingin berserah sahaja kepada Allah....

Dalam keadaan gawat seperti itu, aku cuba dapatkan kepastian Dr Gee, bilakah waktunya untuk dibedah...Kata Dr Gee, Bond aperlu dibedah segera kerana pendarahan yang berlaku akan mengecutkan saluran darahnya dan berkemungkinan jika lewat dibedah, ia akan gagal...Dr Gee memberi masa 10 minit untuk kami membuat keputusan...

Kami cuba menghubungi adik-beradik yang lain...untuk meminta pandangan, abangku Izani yang masih dalam perjalanan pulang dari Selangor menyuruhku bersetuju untuk Bonda dibedah, yang lain mengikut apa yang terbaik...Ya Allah, sukarnya untuk membuat keputusan ini....Lalu dengan berat hati...kami terpaksa membenarkan Bonda dibedah...sebelum surat kebenaran ditandatangani, aku memeluk Bonda erat-erat, kucium pipinya dengan deraian airmata ku mohon maaf daripada Bonda kerana mengambil keputusan itu...kucuba fahamkan Bonda bahawa itu semua adalah untuk menyelamatkan nyawanya, walaupun seperti yang dibayangkan Bonda tidak akan seperti sediakala lagi...kami tetap redha dan mahu Bonda tetap bersama kami walau apa leadaan sekalipun....Bonda, maafkan kami....maafkan kami...

Jam 3:30 petang, Dr Gee memberiku surat untuk ditandatangani....amat berat tangan ini untuk mencoret tandatangan di situ...ku minta kak Chik yang tandatangan, tapi kak Chik memintaku untuk menandatanganinya...sekali lagi jiwaku terasa hancur, luluh, dan pasrah....dengan lafaz Bismillah aku mohon doa kepada Tuhan agar keputusan yang ku ambil ini bukan suatu dosa terhadap Bonda...tiba-tiba, aku teringat kata-kata Bonda saat Bonda ingin dibedah kerana kanser ususnya dua tahun yang lalu....kata Bonda, dia tidak takut untuk dibedah...jika dia mati kerana itu sekalipun dia redha....Hatiku sedikit tenang mengenangkan kata-kata Bonda....lalu kuteruskan tanggungjawab itu...

Selesai surat kebenaran pembedahan ditandatangani...sepasukan jururawat mempersiapkan Bonda untuk pembedahan...sebelum Bonda ditolak ke ruang pembedahan, aku meminta izin untuk mencium Bonda sekali lagi....aku membisikkan ke telinga Bonda perasaan sayang dan cintaku padanya...dan doaku, Bonda masih dapat bersama kami selepas ini...Kak Chik juga mencium Bonda...kami sama-sama menangis mengiringi  Bonda ke bilik pembedahan....

Jam 4:45 petang, namaku dipanggil dari ruang pembedahan...tersirap darahku, kecut hatiku...untuk sebarang kemungkinan berita yang ingin disampaikan...Ah...rupa-rupanya, petugas ingin mendapatkan kepastian sama ada aku memahami tujuan pembedahan tersebut....

Hampir 8-9 jam Bonda diruang pembedahan, lebih kurang jam 12:00 tengah malam...Bonda dibawa keluar untuk ditempatkan di wad ICU 2 Delima...Syukurku kepada Allah swt Bonda selamat dibedah...tetapi agak sayu hati melihat wajah Bonda tidak lagi mudah dikenali...sukar sekali ku mengecami wajah Bonda yang ditutuplitup kepalanya....masih terbujur kaku, dengan wayar-wayar yang berserabut di wajah dan badannya...Kupanjatkan doa pada Allah, agar Bonda kuat menghadapi saat getir seperti ini....

Besoknya seawal 6:30 pagi, kami tidak ingin melepaskan peluang menjenguk Bonda di ICU 6 ,2 Delima. Kami bacakan surah Yasin buat Bonda...membisikkan ke telingannya kalimah ALLAH...mendoakan kesembuhan untuknya...Waktu melawat pesakit 2 Delima hanyalah waktu pagi 6:30 -7:00 pagi, waktu tengahati, jam 1:00 - 2:00 petang dan waktu petang, jam 5:00 - 7:00 petang.

Hari ini hari kedua Bonda terlantar di hospital. Semua anak-anak Bonda sudah pulang untuk menjenguk Bonda...semua saudara mara, sahabat handai Bonda dari kampung juga datang menziarahi Bonda...mereka semua terkejut dengan nasib yang menimpa Bonda,wajah Bonda membengkak, kedua mata Bonda membengkak...tidak sanggup rasanya melihat penderiataan Bonda. Kami semua sedih dan mendoakan agar Bonda selamat...Aku bertekad untuk menjenguk Bonda dan bersama Bonda setiap saat yang diizinkan....Setiap hari,aku ke HUSM untuk menziarahi Bonda dan bertanya khabar tentang Bonda pada Doktor...kata Doktor, Bonda masih diberi ubat tidur, dan bernafas dengan bantuan mesin...pendarahan masih berlaku kerana ada sedikit kebocoran pada saluran darahnya...kemungkinan Bonda akan dibedah semula...Pada petang itu, kusarankan pada Kak Na agar diadakan solat hajat dan bacaan Yasin di surau-surau di kampung kami dan sebaiknya diadakan berterusan sehinggalah Bonda sedar...hanya itulah yang mampu kita lakukan buat Bonda di samping doa anak-anak Bonda sendiri...

Pada hari yang ketiga, kutanyakan lagi khabar mengenai keadaan Bonda pada Doktor. Hari ini, kata doktor, wayar pernafasan melalui hidung Bonda akan dibuka, jika Bonda boleh bernafas sendiri, penbedahan pada saluran pernafasan dilehernya akan dibuat...sekali lagi aku terpaksa menanda tangani surat kebenaran.

Hari keempat( 1 April 2010), syukur kepada Allah, pembedahan membuat saluran pernafasan dileher Bonda selamat. Wajah Bonda kembali normal seperti sediakala, tidak lagi membengkak...matanya juga seperti biasa...Bonda boleh bernafas sendiri dan dengan seminima bantuan mesin ...kami seperti diberi sedikit harapan untuk Bonda...Namun ketika waktu melawat jam 5:00 petang, sekali lagi aku berpeluang...bertanyakan kepada Dr Gee. Beliau seorang Dr yang agak baik bagiku. Beliau tenang melayani pertanyaanku...memberi penerangan yang amat jelas dan tidak sedikitpun membuatku tersinggung atau bersedih...Kata Dr Gee, harapan untuk Bonda hanya 10 % sahaja lagi...kalau tidakpun, mungkin Bonda akan 'koma' yang agak lama...tidak boleh dijangka berapa lama...setelah mendengar penerangan Dr Gee, hatiku membuat rumusan...bahawa Harapan untuk Bonda hidup amat tipis  sekali....Berita itu kusampaikan pada saudara-saudaraku yang lain...mereka pasrah, redha dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada Bonda.

Setiap hari, Bonda dilawati oleh rakan-rakannya dan juga saudara-maranya...ramai sungguh! Semuanya mendoakan yang terbaik buat Bonda.

Pada pagi Jumaat 2 April 2010, badan terasa penat yang amat sangat, tidak larat rasanya ku mengejar waktu melawat jam 6:30 pagi, lalu kubatalkan niat untuk itu pagi ini, tekadku...jam 11:00 pagi nanti aku akan ke sana, kerana biasanya waktu melawat pada hari minggu dibuka lebih awal. Namun bagai tidak diduga, ujian baru terpaksa kuharungi...Ibu mertuaku pula tidak sedarkan diri dan terpaksa dikejarkan ke hospital...dan dimasukkan ke wad 7 utara kerana mengalami masalah gula dalam darah. Seharian hari ini, kepenatan yang kualami telah sampai kepuncaknya...ya Allah, aku redha menerima semua keadaan ini...jauh disudut hatiku menyangka yang baik-baik kepada Allah, bagiku setiap ujian yang datang, adalah rahmat bagi yang menerimanya...kerana Allah bukan sengaja menguji tetapi allah sengaja ingin memberi sesuatu yang 'terbaik' buat seseorang yang diinginiNya....itulah bekal kekuatanku...Mulai hari itu, aku dan suami terpaksa begilir-gilir menjaga Bonda mertuaku...Mohon pengertian dari Bondaku dan saudara-saudaraku akan situasi yang kuhadapi...Alhamdulillah, mereka mengerti ....dan bergilir-gilir mengambil tugas menjaga Bondaku...

Hari isnin 5 April 2010, aku kembali menyambung tugas ku di sekolah, namun setiap saat doaku sentiasa buat Bonda. Seawal kedatangan ku ke sekolah pagi ini, aku sudah merancang ingin pulang sedikit awal dari pada biasa. Cadangku ingin mohon keizinan Tuan Pengetua, lagi pun waktu mengajar ku hari ini hanya satu waktu sahaja. Seperti yang dirancangkan Pengetuaku telah memberi keizinan kepadaku keluar sekolah seawal 12:40 tengahari. Dengan hati yang sedikit girang lantaran permohonanku diterima, aku merancang ingin ke tempat Bonda terlebih dahulu, barulah ke wad Bonda mertuaku...

Jam 1:30 petang, aku tiba di bilik Bonda di 2 Delima,kebetulan tiada yang berziarah pada waktu itu, ku 'bersalam' dengan Bonda, kucium tangannya, pipinya, kakinya, kubisikkan ke telinganya..."Cik, Za datang jumpa Cik, berehatlah Cik...berehatlah dengan tenang...Za sayangkan Cik...Za akan sentiasa doakan Cik...Za akan sentiasa melakukan yang terbaik buat Cik,...Za akan sentiasa mengaji al-Quran untuk Cik, Za akan hiburkan Cik dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebagaimana yang kita sama-sama lakukan pada sesekali Cik berkunjung ke teratak Za....Maafkan segala dosa Za Cik, halalkan segala-galanya Cik...Saat itu juga terbayang kenangan sewaktu bersama Bonda...setiap kali bersamanya, setiap kali ingin berpisah dengannya...aku akan pastikan aku memohon maaf daripada Bonda....dan kata Bonda dengan nada sedikit sebak, tak ada apa-apa yang perlu dimaafkan.....Dan kata-kata itulah yang mendamaikan hatiku saat itu...Tanpa membuang masa tanganku terus mencapai Surah Yasin, lalu kubacakan dengan penuh khusyuk...sebagai hadiah buat Bonda...kumohon kepada Tuhan...agar mengampuni dosa Bonda......

Hampir setengah jam aku bersama Bonda pada petang itu, hatiku puas hari ini...kerana aku dapat 'berbicara' sesuatu pada Bonda...dan aku yakin Bonda 'mendengar' rintihan perasaan anaknya....Bila masa melawat sudah berlalu, aku terus bergegas pula ke tempat Bonda Mertuaku...setibanya di sana, kutunaikan tanggungjawabku sebagai seorang anak buat ibunya...kubantunya untuk tunaikan solat  Zuhur dan sebagainya...hampir jam 3:30 petang, kumohon diri untuk pulang seketika dan berjanji untuk datang lagi....

Petang itu, hampir jam 5:00 petang, bumi HUSM menyambut kedatangan ku lagi...kali ini, aku terus ke wad 7 utara...tujuan utamaku ialah untuk membantu Bonda Mertuaku menunaikan solat Asar pula kali ini, di samping menunaikan solat asar untuk diri sendiri...Pada jam 6:15 petang, kumohon diri untuk menjenguk Bonda di 2 Delima....petang ini terasa damai sekali...seperti biasa kutemankan Bonda dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, surah al-Waqiah dan surah Yasin adalah surah pilihanku sebagai 'buah tangan' buat Bonda setiap kali melawat Bonda di sini. Sesekali ku bawakan 'surah al-Kahfi dan surah al-Mulk' untuk Bonda...aku yakin Bonda pasti menyukainya...kerana Surah-surah inilah yang menjadi hidangan di telinganya ketika kami bersama dirumahku, setiap kali kepulangannya dari Kuala Lumpur....

Jam 7: 10 malam, barulah aku berlalu dari sisi Bonda. Destinasiku sudah tentu ke wad 7 utara, untuk tunaikan solat maghrib.Malam itu, kepalaku berdenyut-denyut kesakitan...selesai solat dan membantu Bonda mertuaku solat...aku membaringkan diri di lantai wad beralaskan kain...untuk meredakan kesakitan di kepalaku...sambil menunggu kedatangan suamiku untuk mengambil alih tugas menjaga Bonda Mertua...lebih kurang jam 9:00 malam, suamiku sampai di wad dan menyuruhku pulang...aku sengaja menangguhkan kepulangan seketika, sementara menanti unyuk menjemput putera kami dari kelas malamnya. hampir jam 9:40 malam, aku mula beredar dari wad. Setelah menjemput anakku, hampir jam 10:20 malam, barulah kami tiba di rumah...di rumah, yang tinggal hanyalah dua puteri kami dan bapa mertuaku yang menemani cucunya sementara menanti kepulanganku. Setelah ku tiba, bapa mertua terus pulang ke rumahnya yang tidak berapa jauh dari rumah kami...

Setelah membersihkan badan dan solat...aku terus merebahkan badan untuk tidur dan rehat..."besok, banyak lagi tugas yang menantiku..."detik hatiku....Lewat jam 11:45 malam, telefon di meja tepi katilku berbunyi...dan terus kucapainya...Kak Chik menyuruhku segera ke hospital...Bonda sedang 'tenat' dan jururawat meminta semua waris masuk ke wad ICU tersebut...Mendengar khabar itu, aku cuba untuk tidak panik, tapi sebak...berbagai bayangan terbayang di ruang mata...macam mana dengan anak-anak di rumah yang terpaksa ku tinggalkan..??? Batinku menjerit. Ku cuba hubungi suamiku berkali-kali, tapi tak ada jawapan. Tanpa berlengah, aku terus bersiap dan membuat keputusan meminta bantuan bapa mertuaku untuk menamankan anak-anakku...

Alhamdulillah, hampir jam 12:15 tengah malam aku tiba di wad ICU 2 Delima, kulihat semua yang lain sudah ada di sana,masing-masing membacakan ayat suci al-Quran. Barangkali akulah yang paling akhir sampai di sini...perlahan-lahan ku dekat pada Bonda, kupegang hujung kakinya...kuusap kakinya...dengan perasaan penuh tanda tanya...Bonda tidak nampak bezanya dari petang tadi yang kulihat...lalu Kak Chik membuka cerita menjawab persoalan yang bermain dibenakku tanpa sempat kutanyakan sesuatu....Katanya, Doktor memaklumkan bahawa Bonda telah mengalami mati otak, yang tinggal hanyalah denyutan jantungnya yang pada bila-bila masa sahaja boleh berhenti...Suasana sungguh syahdu sekali malam itu...Kak Na memberi ruang untuk kurapat dengan Bonda...kali ini kuusap wajah Bonda...kucium pipinya...ku tahan sebak di dada, kucapai surah Yasin, kubacakan, kudoakan buat Bonda...Ya Allah...ampuni dosa Bonda, jerit batinku...deraian airmata tidak lagi dapat kutahankan....aku menangis, batinku merintih, merayu pada Tuhan...agar merahmati Bonda...merahmati 'perjalanan' menemui yang Esa..memudahkan sakaratul maut....sesaat itu juga, aku teringatkan kata-kata Dr Gee sebelum ini, katanya jika dia diberi pilihan antara mati dengan cara kemalangan, serangan jantung atau mati otak, dia memilih untuk mati dengan cara mati otak..tidak sakit katanya. .Aku tidak pasti sejauhmana kebenaran kata-katanya, kerana bagiku mati adalah sesuatu yang 'paling sakit' kecuali dengan izin Allah.

Hampir jam 2:00 pagi, kami sekeluarga di wad 2 Delima, seorang demi seorang keluar dari wad untuk hilangkan penat, atau mungkin sangat mengantuk. Keadaan Bonda masih sama, cuma kadar denyutan jantungnya semakin rendah...serendah 70 darjah.Aku masih di situ, kebetulan ada sebuah kerusi untuk kududuk...kuterus menemani Bonda...sehinggalah jam 3:20 pagi, Kak Chik minta untuk gantikan aku, dan menyuruhku rehat.Kami bergilir-gilir menjaga Bonda...selepas kak Chik, kak Ani pula menawarkan diri. Kesempatan itu membuatku terlelap seketika, sehinggalah mendapat SMS dari kak Ani untuk menggantikannya seawal 5:12 pagi. Tanpa berlengah, aku terus ke wad...di wad, keadaan Bonda tidak banyak berubah, cuma kadar denyutan jantungnya serendah 10 - 13 darjah. Aku bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan, hati sentiasa mendoakan Bonda...surah Yasin kali pertama sudah habis kubaca...kini kali kedua...hanya sempat beberapa ayat kubacakan...mesin pernafasan Bonda berbunyi...dan jururawat yang ada di situ memintaku mengajarkan Bonda kalimah Allah...kuikut katanya, tiba-tiba kurasakan aku patut hubungi yang lain...tanpa berlengah, kuhubungi Kak Na...meminta semua yang lain masuk...Bonda hampir 'ke penghujung nyawa'...aku menangis hiba mengenangkan saat perpisahan dengan Bonda telah tiba....namun kuntuman ayat-ayat Yasin masih kubacakan buat Bonda...sehinggalah Dr Zaid masuk melakukan pemeriksaan dan membuat pengesahan bahawa Bonda...Bonda telah 'pergi' buat selama-lamanya....Luluh rasanya menerima berita itu...walaupun sebenarnya aku telah bersedia untuk itu....6 April 2010, tepat jam 5:55 pagi Bonda menghembuskan nafasnya yang terakhir....

Aku masih di sisi Bonda, dada Bonda masih 'bernafas'...jururawat datang untuk mematikan mesin pernafasan. Perlahan kulihat dada Bonda yang 'berombak' kembali 'senyap' dan 'berhenti'...kusentuh dada Bonda...Ya Allah, memang benar Bonda yang sangat kucintai sudah tidak bernyawa lagi...tenang diwajahnya, senyum dibibirnya tanda redhanya menemui panggilan Ilahi....

Bonda....kini tiada lagi sinar untuk kita bersama, tiada lagi peluang untukku membahagiakan dirimu.....Damailah Bonda di sana, kerana inilah impian Bonda yang selalu Bonda sebut-sebutkan....yang selalu keluar dari bibir Bonda....masih kuingat, Bonda selalu impikan membina mahligai 'bertiang dua'...ingin disisi nenek...banyak sekali petanda-petanda yang membayangkan Bonda akan 'pergi'....banyak sekali pesanan Bonda buatku sebelum ini....InsyaAllah, Bonda...segalanya akan kutunaikan demi 'membahagiakan' Bonda di alam sana.....

Tersedar dari lamunan, rupa-rupanya kini, aku telah kehilangan kedua-dua ibu bapa ku yang melahirkanku ke dunia ini....Ya Allah, ampunilah dosaku, dosa kedua ibubapaku, kasihanilah kedua mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu aku masih kecil....

Sejurus itu, aku terus ke musolla HUSM untuk solat Subuh, kemudian mengiringi Bonda ke bilik mayat untuk urusan membawa pulang jenazah Bonda.....

Di rumah, ramai saudara dan rakan yang datang mengucapkan takziah. Semua urusan untuk pengkebumian diuruskan dengan baik sekali. Kami adik beradik memainkan peranan masing-masing. Syukur Alhamdulillah...segalanya berjalan lancar...dan seawal jam 2:30 tengah hari Bonda selamat disolatkan dan disemadikan.....bersebelahan dengan 'Bondanya'...AL-FATIHAH!!







Mencari cinta dan redha Rabbul Izzati.....

01 March 2010

BERBAKTI KEPADA IBUBAPA MEMBAWA KEBERKATAN HIDUP


     Penderhakaan kepada ibu bapa adalah sebahagian gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat masyarakat Islam yang menganggap memelihara dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat beranggapan menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih penting daripada mengambil berat ke atas ibu bapa.

     Paling malang lagi terdapat anak-anak yang menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan sibuk bekerja ataupun sukar mencari penjaga. Ini adalah berita buruk dan amat menyedihkan ibu bapa.

     Lebih menyedihkan terdapat ibu bapa yang telah ditempatkan di rumah kebajikan ini merayu kepada anak-anak supaya mengambil mereka kembali untuk tinggal bersama tetapi tidak diendahkan. Selain itu terdapat juga anak-anak lebih memuliakan dan menghormati kawan-kawan dan sahabat handai berbanding dengan layanan kepada ibu bapa mereka.

     Umat Islam disaran jangan mencontohi kisah layanan buruk ‘Alqamah terhadap ibunya yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dalam kisah ini, ‘Alqamah telah ditimpa sakit yang amat teruk dan tidak dapat mengucap ketika hampir saat kematiannya walaupun sahabat-sahabat Rasulullah SAW telah mengajarnya berkali-kali sehinggakan Rasulullah terpaksa memanggil ibu ‘Alqamah untuk bertanyakan apa hal sebenarnya yang berlaku. Ibu ‘Alqamah telah menerangkan kepada Rasulullah SAW bahwa dia marah kepada anaknya kerana anaknya lebih mengutamakan isteri lebih daripada ibunya sendiri. Lihatlah sidang jamaah sekalian, walaupun ‘Alqamah adalah seorang yang sangat taat dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT, rajin bersolat, berpuasa dan bersedekah tetapi disebabkan kemarahan ibunya Allah SWT telah menutup lidahnya untuk mengucapkan kalimah syahadah.

     Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya : “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.”

     Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam surah Lukman ayat 14:
Maksudnya : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu”.

     Hakikatnya tanggungjawab anak-anak dalam melaksanakan hak-hak ibu bapa adalah hak yang paling penting sesudah menunaikan hak Allah SWT dan hak Rasul-Nya. Lantaran itu, hendaklah kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, berakhlak mulia sepanjang masa kepada mereka, mengutamakan mereka dalam segala kebajikan dan kebaikan lebih daripada diri kita sendiri, anak-anak dan juga isteri.

     Sesungguhnya tanggungjawab anak-anak terhadap kedua orang tua bukanlah hanya dilakukan semasa hayat mereka masih ada sahaja tetapi berterusan walaupun mereka telah meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan bakti mereka dengan pelbagai amalan seperti memperbanyakkan istighfar dan berdoa untuk mereka, bersedekah, membayar segala hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat yang mereka tinggalkan selagi wasiat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Selain itu menghubungkan silaturahim dengan teman-teman dan kaum kerabat serta orang-orang kesayangan ibu bapa juga merupakan salah satu cara berbakti yang boleh kita lakukan.

     Kita perlulah beristiqamah dalam berbuat ihsan kepada ibu bapa supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup yang sempurna di dunia ini. Jika kita gagal berbuat demikian, maka di kemudian hari kita akan menerima nasib yang sama. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya : “Berbaktilah kepada orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan isteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka.”

     Fahamilah hakikat bahawa setiap kita adalah anak dan setiap kita juga akan menjadi ibu dan ayah. Oleh itu berlaku ihsanlah kepada ibu bapa agar setiap anak yang akan menjadi ibu dan bapa, akan dikasihani dan disayangi oleh anak-anak pula. Sungguh membimbangkan jika ibu bapa kita hidup dalam keadaan terbiar, maka kemungkinan besar anak-anak yang akan menjadi ibu dan bapa juga akan turut terbiar dan tidak dipedulikan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 7 :
Maksudnya : “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga”.

 
Ayah dan Ibu....
Engkaulah permulaan kami...
dapat melihat bulan dan matahari...
tidak mungkin dapatku tukar ganti....


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Mencari cinta dan redha Rabbul Izzati....