Ahlan wa Sahlan ke Anjung Rauhillah...semoga pertemuan ini memberikan satu suntikan cinta kepada Rabbul Izzati...Tuhanku..restuilah pertemuan kami di Anjung ini dengan Rahmatmu..... Ya Allah, sesungguhnya ku amat mengharapkan cintaMu, cinta sesiapa yang mencintaiMu dan mencintai amal yang membawa ku dekat padaMu...Redhailah kami dunia dan akhirat..Amin ya Rabbal Alamin.....
21 October 2009
Doa Kekuatan Setiap Muslim
Peristiwa Nabi adam dan Hawa dikeluarkan dari istana syurga mengajar kita untuk memandang sejarah itu dengan perspektif reda kepada Allah. Hikmah yang lain adalah mengenai kebijaksanaan manusia yang mampu mengatasi malaikat dan syaitan tetapi akhirnya tersungkur juga akibat nafsu yang kadang-kadang mengatasi kehebatan akal. Akhirnya dengan kehendak Allah, kehidupan di dunia diwujudkan, taubat Nabi Adam diterima dan bermulalah ujian keimanan manusia kepada Allah.
Sesungguhnya yang menjadi penyelamat nabi Adam adalah doa taubatnya kepada Allah (Surah al-A’raf : 23). Kisah Allah menerima taubat nabi Adam diceritakan oleh dalam Surah al-Baqarah : 37, yang bermaksud : “kemudian Adam menerima beberapa kalimah (kata-kata untuk bertaubat). Maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”.
Nabi Adam sebenarnya mengajar kita bagaimana hendak menjadi insan yang mulia. Ketika Allah menciptakan nabi Adam, seluruh makhluk diperintahkan tunduk kepadanya. Tetapi pengaruh syaitan dan nafsu syahwat telah menukarkan makhluk yang bernama manusia menjadi makhluk lain.
Ada empat sifat yang merosakkan sifat kemanusiaan seseorang manusia iaitu;
1. Sifat Kebuasan : cirri-cirinya seperti suka marah, busuk hati, suka memukul dan merosakkan harta benda.
2. Sifat Kebinatangan : cirri-cirinya seperti gelojoh dan tamak (spt anjing), suka kepada benda kotor (spt suka kepada harta haram, zina)
3. Sifat Syaitaniyah : cirri-cirinya seperti dengki, penipu, menyuruh yang mungkar dan melarang kebaikan.
4. Sifat Rububiyah iaitu sifat ketuhanan yang ingin dirampas menjadi miliknya : cirri-cirinya ialah sifat bangga diri, sombong, mahukan pujian dll.
Begitulah kejahatan terbesar anak cucu Adam apabila mereka telah melupakan Allah dan hidup bergelumang dalam kubang dosa. Marilah kita belajar dari kesilapan ayahanda kita Nabi Adam kepada Allah.
Setelah Adam melakukan kesilapan, Adam terus bertaubat seraya berdoa tanpa mengenal erti putus asa daripada rahmatNya. Inilah ibadat yang paling agung yang pertama kali diajarkan oleh Allah kepadanya iaitu BERDOA.
Apakah sebenarnya fungsi doa itu kepada kita?
1. Doa adalah tali Allah yang menjadi pengikat antara kita dengan Allah.
• Sebagai hamba Allah yang kekal lemah, manusia perlu sentiasa berhubungan dengan Allah yang Maha Perkasa.
• Lafaz doa mengandungi pengharapan dan kebergantungan kepada Allahu Somad
• Seseorang yang merasa dirinya tak perlu berdoa, dia sebenarnya terlalu angkuh dan sombong. Dia memutuskan tali Allah yang mengikatnya sehinggakan terdedah kepada kebinasaan akibat dosanya melupakan Allah.
• Seseorang Muslim hendaklah sentiasa membiasakan diri menyebut nama Allah. Seawal bangun tidur, mandi, belajar dsb hendaklah diiringi dengan doa.
• Sungguh indah perhubungan hamba dengan Tuhannya. Dia begitu hampir dan tidak pernah bercerai kerana penghubungnya adalah DOA.
2. Doa adalah cita-cita dan impian yang diiringi dengan usaha dan ikhtiar
• Orang yang meminta syurga mestilah diiringi dengan kesungguhan beramal soleh.
• Orang yang meminta keberkatan rezeki, hendaklah bersungguh-sungguh berkerja untuk mendapatkannya.
• Orang yang meminta dihindari dari menzalimi diri sendiri, maka hendaklah berusaha untuk tidak berbuat dosa dan maksiat.
• Orang yang meminta kejayaan dalam pelajaran, hendaklah berusaha dan belajar bersungguh-sungguh.
• Doa dan ikhtiar saling melengkapi. Firman Allah; “….. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum kecuali mereka mengubah diri mereka sendiri…” (Surah al Ra’d : 11)
3. Doa sebagai pengubat hati.
• Saat diri dihina, tidak dipedulikan, kematian orang tersayang, maka perasaan yang hadir adalah sedih dan kecewa. Begitu juga apabila berlaku ujian atau cubaan seperti kebakaran, kecurian, kesakitan, kecacatan, bencana alam atau kegagalan maka sudah tentu kepada Allah lah tempat mengadu dan merintih.
• Setiap pengharapan, keyakinan dan kekuatan sudah tentu dipohonkan daripada Allah sebagai penjana kuasanya.
• Doa adalah kekuatan dan semangat bagi setiap Muslim.
• Doa mesti dilakukan dengan cara dan adab yang betul. Jika tidak ia akan tinggal lafaz kosong tanpa makna dan tujuan
• Berdoalah dengan bersungguh-sungguh agar kita sentiasa mendapat jawapan yang pasti daripada Ilahi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment