Ahlan wa Sahlan ke Anjung Rauhillah...semoga pertemuan ini memberikan satu suntikan cinta kepada Rabbul Izzati...Tuhanku..restuilah pertemuan kami di Anjung ini dengan Rahmatmu..... Ya Allah, sesungguhnya ku amat mengharapkan cintaMu, cinta sesiapa yang mencintaiMu dan mencintai amal yang membawa ku dekat padaMu...Redhailah kami dunia dan akhirat..Amin ya Rabbal Alamin.....
21 October 2009
Al Quran sebagai Kekasih
JADIKAN AL-QURAN SEBAGAI KEKASIH....
Tidak salah, malah dituntut supaya al-Quran dijadikan kekasih. Yang dimaksudkan dengan kekasih ialah sesuatu yang kita sayang, kita cinta, dan kita kasih dengan sepenuh hati. Tentu sekali kita tidak mahu berpisah dengan seseorang yang kita sayang bukan?, seperti ibubapa, suami, isteri, anak-anak dan yang lain yang telah bertakhta di hati. Sebab itulah perkataan ‘kekasih’ saya gunakan untuk lebih memudahkan saya membuat ulasan dalam tazkirah pada pagi ini.
Anggapkanlah al-Quran seumpama kekasih kita. Apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka akan lahirlah pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta itu. Dari itu, marilah kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar mencintai al-Quran kalamullah yang Maha Agung ini.
Al-Quran sebagai kekasih boleh dibahagikankan kepada 3 ciri:
1. Al-Quran adalah Kekasih yang terlalu istimewa.
2. Al-Quran adalah Kekasih yang perlu dimuliakan.
3. Al-Quran adalah kekasih yang perlu sentiasa dibelai.
1. Al-Quran adalah Kekasih yang terlalu istimewa.
Tidak seperti membaca buku cerita atau novel cinta jika dibaca secara berulangkali pasti akan timbul rasa jemu kelak walaupun ia mengandungi bahasa yang cukup indah. Berbanding dengan al-Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikitpun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya.Itulah istimewanya al-Quran. Bahkan kita akan terasa terhibur. Allah S.W.T. telah berfirman: (Surah al-Ra’d: 28)
Maksudnya : Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Malah dijanjikan oleh Allah SWT bagi sesiapa yang ikhlas mengharapkan keredhaanNya. Dengan memperbanyakkan zikrullah (membaca al-Quran dll zikir) maka dia akan memperoleh ketenangan yang membahagiakan.Dan zikrullah yang terbaik ialah membaca al-Quran.
2. Al-Quran adalah Kekasih yang perlu dimuliakan.
Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu allah SWT telah menyeru agar kita mematuhi kandungan kekasih itu untuk mendapat keberkatan.
Malah Allah SWT juga menggariskan adab-adab untuk memuliakan al-quran. Antaranya apabila kita mendengar bacaan al-Quran, maka kita perlu mendengar dan berdiam diri sebagaimana ingatan Allah dalam surah al-A’raf : 204
Maksunya: Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarkanlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
3. Al-Quran adalah kekasih yang perlu sentiasa dibelai.
Jagalah al-Quran, sentiasalah berada di sampingnya. Rasuluillah SAW sering memberi amaran dan memerintahkan agar umatnya menjaga al-Quran dan tidak melupakannya.
Daripada Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Dibentangkan kepadaku pahala umatku, sehingga pahala hasil perbuatan seseorang yang membuang kotoran daripada masjid. Dibentangkan juga kepadaku dosa-dosa umatku. Aku tidak dapati dosa yang lebih besar daripada satu surah atau satu ayat yang dikurniakan kepada seseorang kemudian dia melupakannya.” Riwayat Abu Daud dan Tarmizi.
Selain itu, kita membelainya dengan sifat kita berlumba-lumba untuk membacanya pagi dan malam malah berasa iri hati dengan ‘kegilaan’ orang lain membaca Kalamullah itu.
Daripada Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Hasad itu (iri hati) tidak dibenarkan melainkan dua perkara, iaitu iri hati kepada seseorang yang dirahmati Allah dengan bacaan al-Quran siang dan malam, dan kepada seseorang yang dilimpahkan harta yang banyak dan dia membelanjakannya ke jalan Allah siang dan malam.
Sifat ini menggambarkan keinginan untuk memperolehi sesuatu yang sama dengan orang itu dan berlumba-lumba untuk terkehadapan dalam beramal adalah amat digalakkan.
Keutamaan membaca al-Quran:
1. Ibadat yang paling utama dari segi bacaan – manakala solat adalah sebesar2 ibadat dari segi geraklaku atau perbuatan.
2. Pahala membaca 1 huruf al-Quran :
• Sekiranya dibaca dalam solat = 100 kebajikan
• Sekiranya dibaca diluar solat dalam keadaan berwuduk = 50 kebajikan
• Sekiranya dibaca diluar solat tanpa wuduk = 10 kebajikan
• (menurut Ibnu Majah : digandakan sampai 400 kali, dan menurut Ibnu al-Jauzi : digandakan sampai 700 kali)
3. Balasan 1 huruf yang dibaca ialah bidadari di syurga / dikatakan juga mendapat balasan sebatang pohon di syurga
4. Pembaca al-Quran adalah hartawan dan pahalanya tidak akan putus
5. Pembacanya dijamin keselamatan daripada api neraka.
6. Pembacanya mendapat kedudukan yang tinggi dan mulia bersama Malaikat.
7. Al-Quran menjadi pembela kepada pembacanya.
8. Pembacanya akan memperoleh keamanan
9. Pembacanya dimasukkan ke dalam golongan siddiqin.
10. Membaca sebelum tidur akan mendapat kawalan malaikat. (Baca ayat Kursy / 3 Qul)
Semoga kita akan terus konsisten atau beramal secara berterusan untuk menjaga hubungan baik kita dengan al-Quran kekasih kita. Ingatlah Al-Quran adalah kekasih yang membahagiakan kita dunia dan akhirat.
Oleh itu, teruskan usaha mempelajari al-Quran, membaca al-Quran seterusnya menghayati keindahan yang ada di dalamnya. Sesungguhnya dengan niat yang baik dan ikhlas, pastinya al-Quran adalah kekasih awal dan akhir kita. Jangan mudah putus asa untuk mempelajarinya….selagi ada kemahuan di situ ada jalan.
Bersempena dengan kedatangan Ramadhan al-Mubarak, sematkanlah azam untuk sama-sama membaca al-Quran dan sekurang-kurangnya dapat sekali khatam di sepanjang bulan Ramadhan yang semakin hampir ini.
sedutan dari akhbar ....(lupa pulak akhbar apa...halal ya!)
Jom saksikan:
Tanda-tanda kekuasaan Allah swt
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment